Hari Pahlawan yang diraikan pada 31 Julai setiap tahun memang mampu mengajar kita ertinya kemerdekaan serta mengenang kembali jasa pejuang dahulu. Tetapi sejak tahun kebelakangan ini, sambutan Hari Pahlawan kurang mendapat sambutan, lebih-lebih lagi dari orang awam. Jika keadaan ini berterusan di masa depan, mungkin rakyat kita tidak akan memahami betapa pentingnya untuk kita menghargai jasa pejuang-pejuang kita yang telah terkorban atau pun mengalami kecacatan kekal semasa menjalankan tugas menjaga keamanan negara sebelum dan selepas kemerdekaan.
Untuk menangani masalah ini, Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera (JHEV) telah menggesa kerajaan memasyhurkan sambutan Hari Pahlawan supaya semua lapisan rakyat mengenang kembali jasa pejuang terdahulu dan lebih menghayati erti kemerdekaan (Borneo Post Online). Jika diadakan Hari Pahlawan, ia biasanya dihadiri oleh anggota tentera dan pesara tentera sahaja. Jarang sekali orang awam menghadiri atau meraikan bersama hari tersebut dan ini menunjukkan bahawa kurangnya pendedahan tentang hari yang penting ini.
Adalah diharapkan agar kerajaan dapat mempromosikan Hari Pahlawan di masa akan datang agar orang ramai dapat meraikan bersama dengan anggota tentera dan para pesara tentera. Selain itu, banyak program-program lain dapat disusun untuk dikongsi bersama dengan orang ramai yang boleh membangkitkan semangat patriotik dan menghargai jasa para tentera serta pesaranya.
**Sumber Rujukan: Borneo Post Online**