Thursday, July 29, 2010

Sarawak Semakin Moden (Part 1)


Pengenalan
Negeri Sarawak mendapat kemerdekaan pada 16 September 1963 dan sejak dari hari itu, negeri Sarawak telah menjalani proses pembangunan yang pada mulanya hanya bertumpu di bandar-bandar tetapi semakin menular ke kawasan luar bandar atau pekan-pekan utama. Kini setiap daerah di negeri Sarawak mempunyai Pejabat Daerah yang berfungsi sebagai pusat pentadbiran setempat untuk menguruskan hal-hal pentadbiran daerah selain menjadi tempat para penduduk setempat berurusan dengan pihak kerajaan. Setiap daerah juga telah dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air bersih, talian telefon dan jalan raya. Penempatan di sekeliling daerah juga kini semakin hari, semakin lengkap dengan keperluan-keperluan asas yang telah dinyatakan. Walaupun masih terdapat penempatan yang belum dilengkapi dengan kemudahan asas, tetapi usaha-usaha untuk menyalurkannya sedang dalam proses ataupun paling tidak dalam perancangan. Namun hari ini kita boleh melihat sendiri di sekeliling kita, sudah banyak perubahan yang telah berlaku sejak negeri Sarawak mendapat kemerdekaan 47 tahun yang lalu.

Kini banyak usaha sedang dilakukan untuk membangunkan kawasan bandar yang ada sekarang serta semakin banyak kerja-kerja pembangunan juga dilakukan di luar bandar dan bahagian pedalaman. Walaupun kerja-kerja pembangunan di luar bandar dan pedalaman tidaklah serancak yang dilakukan di bandar, tetapi semakin ramai penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman dapat merasakan hasil pembangunan seperti yang ada di bandar. Contoh yang paling mudah adalah kelengkapan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kemudahan jalan raya.

Bekalan Air Bersih
Dahulu, bekalan air bersih hanya bertumpu di bandar utama ataupun di pekan-pekan kecil yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak. Sumber air di luar bandar dan pedalaman lebih kerap diperolehi daripada air sungai, perigi, mata air atau pun air hujan. Sumber-sumber air berkenaan adalah cara terbaik bagi penduduk luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan air yang digunakan sebagai minuman dan melakukan aktiviti harian seperti mencuci pakaian serta memasak. Sumber bekalan air tersebut juga tidak terjamin dari segi kebersihannya dan sering kali mendatangkan penyakit yang berpunca dari bekalan air kotor seperti penyakit taun. Tetapi yang paling ketara adalah kesukaran untuk mendapatkan bekalan air kepada penempatan yang jauh dari sumber air seperti dari sungai. Kepada yang bergantung kepada air hujan pula, mereka mengalami kesukaran bila musim kemarau tiba. Masalah ini biasa berlaku yang kerap menjejaskan aktiviti harian.

Kini, banyak sudah berubah di mana kebanyakkan kampung-kampung diluar bandar sudah disalurkan bekalan air bersih ke setiap rumah. Tanggungjawab membekal dan menyelenggara bekalan air bersih kini tidak terletak pada Jabatan Kerja Raya Sarawak tetapi boleh dikatakan setiap bahagian atau daerah mempunyai pengendali bekalan air mereka sendiri seperti Lembaga Air Kuching dan Lembaga Air Serian. Air yang dibekalkan juga terjamin kualitinya begitu juga dengan kebersihannya dan dengan itu ia tidak memudaratkan jika diminum. Bekalan air bersih juga mudah didapati yang membolehkan aktiviti harian dijalankan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Bekalan air juga telah disubsidikan oleh kerajaan agar rakyat dapat menikmati bekalan air bersih yang murah. Kerja-kerja pembekalan juga kini giat dijalankan bukan saja di bandar malah di luar bandar dan kawasan pedalaman. Setiap bahagian di Sarawak juga telah dibina loji penapisan air, tangki penyimpanan air, sistem perpaipan yang teratur serta infrastruktur yang berkaitan bagi menampung keperluan bekalan air yang kian meningkat. Beberapa bulan yang lepas, kerajaan pusat telah memperuntukan RM1.5 bilion untuk projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan ini telah membuktikan bahawa kerajaan sangat serius dalam memberikan keselesaan kepada rakyat di negeri Sarawak.


Rujukan

  1. Sarawak 30 Years Of Independence Within Malaysia, 1993
  2. Sarawak Year Book, 1999, Lawrence Tseu
  3. Sarawak Moden Dan Progesif, Wawasan Taib, 1996, Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia, Sarawak.
  4. RM3.25 bilion untuk bekalan elektrik, air luar bandar, 25/05/2010, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_04.htm

2 comments:

  1. Isu utama adalah pengagihan... bagaimana mengagih kekayaan negeri dengan mendapat pulangan yg semaksimum mungkin dengan isu politik membelenggu setiap pemfaktoran dan percaturan

    ReplyDelete
  2. Memang isu pengagihan sangat mempengaruhi dan ini adalah punca utama mengapa sesetengah tempat tidak mendapat pulangan kekayaan negeri seperti yang diperuntukkan. Jadi selagi isu pengagihan ini tidak dapat diselesaikan, maka ramai rakyat yang sepatutnya layak menerima hak mereka akan tercicir dalam pembangunan negara

    ReplyDelete