Thursday, August 4, 2011

"Walk for Democracy & Reforms" punya motif tersendiri

Selepas perhimpunan haram anjuran Bersih pada 9 Julai lepas, MoCS pula telah mengumumkan bahawa mereka juga akan mengadakan satu perhimpunan/perarakan di bandaraya Kuching, Sarawak pada 13 Ogos minggu depan. Francis Siah, presiden MoCS telah mengumumkan sendiri keputusan untuk mengadakan perhimpunan tersebut dan beliau juga mengatakan perhimpunan tersebut adalah untuk mengumpulkan sokongan dari rakyat Sarawak bagi memperjuangkan hak demi masa depan Sarawak.

Francis Siah pernah mengumumkan selepas Pilihanraya Negeri yang lepas, MoCS akan mengadakan perhimpunan anti-Taib yang akan diadakan pada bulan Ogos bagi mendesak Ketua Menteri Sarawak untuk meletak jawatan. Pada bulan lepas setelah melihat perhimpunan Bersih mendapat sokongan daripada sejumlah rakyat Malaysia, beliau telah menukarkan perhimpunan anti-Taib yang asal kepada "Walk for Democracy & Reforms". 

Tindakan beliau itu dilihat sebagai langkah untuk menumpang populariti perhimpunan  Bersih bagi meraihkan lagi lebih banyak sokongan dari rakyat Sarawak pada perhimpunan 13 Ogos kelak. Dalam pada masa yang sama, Francis Siah dengan mudahnya menukarkan objektif asal perhimpunan untuk mendesak Ketua Menteri Sarawak kepada perhimpunan yang memperjuangkan demokrasi dengan memberikan alasan objektif perhimpunan anti-Taib dikatakan agak agresif dan tema perhimpunan yang baru lebih sesuai serta tiada unsur agresif. Beliau juga dengan yakin telah memberikan jaminan bahawa tiada keganasan akan berlaku pada perhimpunan itu nanti dan mengatakan pihak MoCS akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Akan tetapi, jangan terlupa bahawa perancangan perhimpunan asal adalah perhimpunan anti-Taib, adalah tidak mustahil jika dikatakan MoCS akan menukarkan objektif perhimpunan sekarang kembali kepada asal pada saat-saat akhir bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Jika MoCS boleh menukar objektif asal mereka dengan mudah pada masa yang singkat, maka mudah juga bagi mereka menukarkan kembali kepada yang asal. Ternyata motif utama perhimpunan pada 13 Ogos kelak adalah untuk mendesak perletakkan jawatan oleh Ketua Menteri dan pasti ramai pemimpin pro-pembangkang akan mengambil kesempatan berkenaan untuk melakukan demonstrasi serta memperjuangkan agenda mereka sendiri. Pada perhimpunan itu nanti dijangkakan ramai pemimpin pro-pembangkang akan turut serta, dan tidak mustahil jika mereka mengambil kesempatan yang ada untuk menyampaikan agenda politik masing-masing pada hari berkenaan.

Sejauh manakah kejayaan perhimpunan anjuran MoCS ini nanti belum lagi kita ketahui tetapi apa yang pasti terdapat motif lain disebalik objektif utama perhimpunan tersebut diadakan. Marilah kita tunggu dan lihat perkembangan perhimpunan ini, apakah MoCS berjaya mendapatkan sokongan rakyat Sarawak kelak...

No comments:

Post a Comment