Wednesday, December 14, 2011

SUPP terbakar

Walaupun berakhirnya TDC SUPP pada hujung minggu lepas, masih ada pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan SUPP untuk meneruskan TDC yang telah dihadiri oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Kemelut dalaman SUPP ini sudah lama berlaku dan tidak ada apa-apa kata putus diantara pihak yang bertelagah. 

Kemelut dalam ini juga telah menjadi punca SUPP mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah parti ketika pilihanraya April tahun ini. Dan yang paling teruk adalah kekalahan presiden SUPP sendiri Tan Sri George Chan yang gagal mendapat undi majoriti serta beberapa kerusi DUN lain yang selama ini adalah kubu kuat SUPP telah jatuh ke tangan parti pembangkang.

Dan pada awal pagi semalam, sebahagian daripada bangunan ibu pejabat SUPP telah terbakar telah menimbulkan syakwasangka dikalangan ahli-ahli parti. Kejadian ini mungkin akan mencetuskan satu lagi masalah baru dalam SUPP dan mengeruhkan lagi kemelut yang sudah berlarutan lama. Dalam satu kenyataan akhbar, Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata kebakaran tersebut berlaku mungkin bukan disebabkan oleh kemalangan dan beliau memberi kepercayaan kepada pihak polis untuk menyiasat kejadian tersebut. Walaupun tidak menuduh mana-mana pihak, sedikit-sebanyak kenyataan beliau mungkin telah menyebabkan ada pihak menjadi tidak selesa. Kenyataan sebegitu tidak sepatutnya dilemparkan memandangkan kemelut dalam parti masih belum selesai dan TDC baru saja tamat.

Ikhsan The Borneo Post
Dalam pada masa yang sama, Datuk Seri Wong Soon Koh telah memberikan kenyataan bahawa kebakaran di ibu pejabat SUPP semalam tidak melibatkan kumpulan beliau. Beliau menegaskan tiada individu harus bertindak melawan undang-undang dan meminta agar para pengikut beliau untuk bertenang serta tidak bertindak melulu atau terlalu emosional. Beliau juga meminta agar pihak polis untuk menyiasat kejadian berkenaan. 

Kejadian kebakaran ini dilihat telah mengeruhkan lagi kemelut SUPP dan dijangkakan akan berlarutan lebih lama jika pihak-pihak berkenaan tidak menemui jalan penyelesaian. 

1 comment: