Thursday, May 23, 2013

Gayu Guru Gerai Nyamai


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan harga maksimum bagi 11 jenis barangan terkawal mengikut Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Gawai tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Hasan Malek berkata skim berkuat kuasa selama satu minggu dari 27 Mei hingga 2 Jun sempena sambutan Hari Gawai yang jatuh pada 1 dan 2 Jun ini.

Barangan terkawal berkenaan ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, daging lembu import, babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi bahagian perut serta daging babi bahagian daging dan lemak.

Dalam kenyataan di sini Rabu, beliau berkata harga maksimum ditentukan bagi 11 barangan harga terkawal di sebanyak 32 daerah di Sarawak.

Hasan berkata skim ini dilaksanakan supaya pengguna dapat memperoleh barangan perlu di musim perayaan pada harga berpatutan dan menyekat daripada peningkatan harga yang melampau.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan para peniaga supaya sentiasa mengikut harga maksimum yang ditetapkan kerajaan dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal selain menggalakkan peniaga menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum.

Katanya, peniaga yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Sementara syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

"Peniaga yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan kawalan pula boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000," katanya.

Hasan berkata Pegawai Penguatkuasa dan Pegawai Pemantau Harga kementerian akan berada di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai pusat membeli-belah seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pengguna sentiasa dilindungi.

Katanya, kementerian juga akan mendapatkan kerjasama daripada Skuad Pengguna, penghulu, ketua masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memantau dan menyebarkan maklumat mengenai skim ini bagi membantu memberi kesedaran kepada semua pihak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan peniaga yang tidak mematuhi peraturan itu boleh membuat aduan kepada kementerian melalui e-mel di e-aduan@kpdnkk.gov.my atau hubungi talian bebas tol 1-800-886-800.

Pengguna juga boleh menghantar pesanan ringkas ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN atau mengunjungi pejabat KPDNKK di seluruh Sarawak.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment