PRU-13 yang bakal diadakan masih belum lagi diketahui bila tarikhnya tetapi bahangnya semakin terasa dimana pihak BN dan pihak pembangkang sudah mula melakukan persediaan awal untuk menghadapi PRU nanti. Di Sarawak, belum ada aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak BN dan pembangkang. Mungkin kedua-dua pihak masih mengatur strategi bagaimana hendak memenangi hati dan mendapatkan sokongan para pengundi di kawasan masing-masing.
Masalah dalaman yang dihadapi oleh parti komponen BN (SUPP dan SPDP) akhir-akhir ini mungkin boleh menjejaskan prestasi BN di Sarawak. Masalah dalam SUPP masih belum lagi selesai dimana pemimpin dan penyokongnya sudah terbahagi dua yang berpunca daripada ketidaksefahaman antara dua pemimpin teratas parti, Peter Chin dengan Wong Soon Koh. SUPP juga mungkin dibubarkan jika siasatan pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mendapati terdapat perhimpunan TDC lepas tidak sah.
Masalah SPDP pula belum selesai sepenuhnya apabila pengerusi parti, William Mawan memecat lima pemimpin utama mereka yang juga menduduki 5 kerusi parlimen di Sarawak. Keputusan pemecatan tersebut juga telah menyebabkan SPDP kehilangan 5 kerusi parlimen dibawah SPDP dan masalah pemilihan bakal calon yang sesuai untuk PRU akan datang kelihatan agak sukar dilakukan. Kelima-lima pemimpin SPDP yang telah dipecat tersebut masih setia kepada BN tetapi kehilangan mereka amat dirasai parti SPDP.
Pihak pembangkang pula, lebih-lebih lagi DAP, sudah mula mendekati para pengundi bumiputera Dayak yang berada di kawasan luar bandar untuk mendapatkan sokongan mereka. Pelancaran DCC (Dayak Consultation Council) adalah salah satu strategi DAP untuk mendekati para pengundi Dayak dimana sokongan mereka kepada DAP meningkat pada PRN tahun lepas. PKR Sarawak pula, dibawah pimpinan Baru Bian akan terus memperjuangkan hak tanah NCR untuk mendapatkan sokongan dikalangan pengundi Dayak. Isu-isu hak milik tanah NCR telah digunakan oleh Baru Bian untuk mendapatkan sokongan dengan menyediakan khidmat guaman untuk menyelesaikan isu hak milik tanah NCR di mahkamah.
Walauapapun semua pihak sudah ada perancangan tersendiri dan bahang PRU-13 semakin hari semakin hangat dirasai. Persoalanya, adakah kita rakyat Malaysia sudah bersedia untuk mengundi? Marilah mengundi kerana ia adalah hak kita sebagai rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment