Wednesday, August 11, 2010

Merdeka: Bumi Bertuah Malaysia


Tidak lama lagi, pada 31 Ogos 2010, negara kita akan merayakan Hari Kemerdekaan ke-53. Pada bulan ini juga, ramai rakyat Malaysia akan mengibarkan bendera Jalur Gemilang untuk menunjukkan semangat patriotik masing-masing. Bagi generasi tua mereka akan faham dan tahu akan makna sebenar Hari Kemerdekaan. Mereka juga lebih tahu kepahitan dalam menjalani kehidupan sebelumnya kemerdekaan negara dan manisnya bila mendapat kemerdekaan dari pihak penjajah iaitu British.
(Klik sini untuk maklumat lanjut sejarah kemerdekaan.) Tetapi sebaliknya pula kepada generasi muda, yang kini semakin leka dengan arus pembangunan negara. Mereka sangat bertuah kerana dilahirkan di dalam sebuah negara yang aman dan damai. Dan seharusnya juga mereka patut tahu sejarah bagaimana susahnya untuk mendapatkan semua nikmat yang dikecapi pada hari ini.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga dan bersyukur kerana dilahirkan di dalam sebuah negara yang aman dan makmur. Negara kita masih baru jika dibandingkan dengan negara-negara lain, tetapi rakyat kita hidup lebih harmoni dan bertoleransi antara satu sama lain walaupun berbeza kaum, bangsa dan agama. Semua ini adalah hasil dari perjuangan pemimpin-pemimpin kita yang memperjuangkan hak kemerdekaan dari pihak British lebih daripada 53 tahun dahulu. Selepas mendapatkan kemerdekaan, negara kita banyak mengharungi cabaran yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara. Ketika itu, ancaman komunis dan peristiwa berdarah 13 Mei 1969, telah mengajar kita betapa pentingnya kita sebagai rakyat Malaysia harus hidup dalam keadaan aman, harmoni dan bertoleransi. Kerana tanpa harmoni dan toleransi sesama bangsa dan kaum, maka akan tergugatlah kenikmatan yang kita miliki ketika ini. Semuanya akan hilang dalam sekelip mata tanpa kita sedari, kerana jika berlaku sedikit perselisihan faham, peristiwa lalu seperti pada 13 Mei 1969 boleh berlaku lagi. Kita semua tidak mahu peristiwa tersebut daripada berlaku lagi dan kalau boleh sampai bila-bila pun.



Negara yang mendapat kemerdekaan lebih awal dari negara kita sebagai contoh, sudah 62 tahun merdeka ia itu pada 4 Februari 1948. Tetapi oleh kerana konflik lama antara etnik Sinhala dan Tamil di negara tersebut, menyebabkan rakyatnya hidup dalam ketakutan dan terancam dengan tindakan-tindakan ganas seperti letupan bom dan insiden tembak-menembak. Sri Lanka juga masih mengalami perang saudara yang berlarutan sekian lama walaupun sudah 62 tahun merdeka. Ini menunjukkan bahawa bukan senang hendak melahirkan sebuah negara yang aman jika tidak ada kesepakatan antara rakyat lebih-lebih lagi antara kaum atau bangsa. Di Sri Lanka, rakyatnya hanya terdiri kurang daripada 6 etnik yang mendiami negara tersebut, tetapi oleh kerana tidak wujudnya sikap toleransi, negara tersebut telah diselebungi dengan masalah perkauman. Walaupun sudah banyak usaha kerajaan Sri Lanka untuk membendung masalah tersebut, konflik antara etnik masih wujud sehingga ke hari ini. Masalah tersebut juga telah membantutkan pembangunan negara di Sri Lanka dan kebanyakkan rakyatnya masih hidup dalam kemunduran.(Klik 1, 2 & 3 untuk maklumat lanjut konflik di Sri Lanka)



Negara lain yang mendapat kemerdekaan lebih awal dari negara kita tetapi masih mengalami masalah rumit telah mengajar kita bahawa betapa bertuahnya kita untuk menjadi rakyat Malaysia. Oleh kerana itu, kita lebih-lebih lagi kepada generasi baru harus berganding bahu untuk berusaha dengan lebih gigih dan nekad untuk mengekalkan keamanan dan kedamaian yang kita miliki sekarang.


2 comments:

  1. saya pernah melalui 13hb Mei.. moga-moga generasi-generasi akan dtg tidak akan melalui detik sebegitu lagi

    ReplyDelete
  2. nampaknya kita sebagai rakyat harus bersama-sama berusaha untuk menjadikan negara kita tempat yang selamat didiami, aman dan sejahtera... kita juga harus bekerjasama antara stu sama lain untuk memajukan negara kita supaya kita dapat menikmati kehidupan yang lebih senang.

    ReplyDelete