Thursday, May 16, 2013

Sarawak Anjur Pameran 'Raja Kita' Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Agong Ke-86

KUCHING, 15 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak akan mengadakan pameran "Raja Kita' di Kota Samarahan pada 1 Jun sebagai sebahagian daripada acara sambutan ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong ke-14, kata Menteri Komunikasi dan Pembangunan Infrastruktur negeri Datuk Seri Michael Manyin Rabu.



Manyin, yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur sambutan berkata pameran sehari itu akan dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, yang juga dijadual menyertai kira-kira 1,000 tetamu pada majlis jamuan teh di Dewan Suarah Kota Samarahan pada hari yang sama.

"Yang di-Pertuan Agong sekarang, Tuanku Abdul Halim (Mu'adzam Shah), yang hari ulang tahun keputeraan baginda juga disambut di seluruh negara, amat istimewa kerana baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama menaiki takhta sebanyak dua kali.

"Baginda juga merupakan raja paling berusia yang menaiki takhta dan penggal perkhidmatan baginda bermula pada 13 Dis 2011 setelah dipilih Majlis Raja-Raja. Baginda berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima dari 1970 hingga 1974," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk sambutan itu di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini.

Bersempena sambutan peringkat negeri itu, kata Manyin, kira-kira 2,000 orang termasuk Abang Muhammad Salahuddin dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan menghadiri majlis kesyukuran di Masjid At-Muttaqin, Kota Samarahan pada malam 31 Mei.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment