Kurang dari 2 minggu lagi negara kita akan merayakan Hari Kemerdekaan ke-54 dan ia menjadi lebih meriah kerana ia akan disambut bersama Hari Raya Aidilfitri. Sememangnya sambutan hari kemerdekaan negara pada tahun ini amat berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini kerana rakyat seluruh negara dapat menikmati cuti yang panjang bersama keluarga dan sanak saudara yang tercinta sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Di Sarawak pula, lebih-lebih lagi di bandaraya Kuching, semangat menyambut Hari Raya semakin hari semakin membara setiap kali hari berlalu untuk menanti hari yang meriah itu menjelang tiba. Lagu-lagu raya berkumandang, lampu-lampu hiasan siap dipasang, rumah dibersihkan serta dihiaskan secantik-cantiknya untuk menyambut kepulangan keluarga dan sanak saudara yang mencari rezeki jauh dari kampung halaman.
Malangnya, semangat hari kemerdekaan agak kurang terasa dan paling menyedihkan hanya sebilangan kecil sahaja rakyat menunjukkan semangat patriotik mereka dengan mengibarkan "Jalur Gemilang" pada kenderaan persendirian atau di kawasan rumah masing-masing. Sebilangan besar rakyat pula tidak menunjukkan semangat patriotik masing-masing dan lebih menyedihkan deretan kedai serta syarikat-syarikat besar disekitar bandaraya Kuching tidak mengibarkan "Jalur Gemilang". Jika pun ada hanya ala kadar, cukup untuk mengibarkan bendera kebanggan negara di depan pejabat syarikat atau kedai masing-masing.
Paling menyedihkan terdapat premis-premis perniagaan atau syarikat masih lagi mengibarkan bendera yang sudah lusuh warnanya dan ada pula sudah koyak/buruk. Adalah lebih baik jika mereka tidak mengibarkan langsung bendera jika dibandingkan mengibarkan bendera yang sudah usang dan tidak sedap dipandang orang ramai terutama para pelancong lebih-lebih lagi ketika menjelang hari kemerdekaan ini.
Sepatutnya, kedua-dua perayaan harus lah diraikan secara meriah dan disambut secara bersama-sama rakyat yang berbilang kaum bukan hanya di Sarawak tetapi di seluruh negara. Tahun depan tiada lagi sambutan berkembar seperti ini lebih-lebih lagi sempena Hari Kemerdekaan negara tercinta dan peluang yang akan datang ini harus kita ambil untuk merayakan perayaan 2 perayaan yang menjadikan negara kita sebuah negara yang unik serta mempunyai pelbagai kaum dan perayaan.
Sambut lah Hari Kemerdekaan ke-54 dengan mengibarkan bendera dan sambutlah Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai yang berlainan kaum.
SELAMAT HARI KEMERDEKAAN & SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
No comments:
Post a Comment