Wednesday, May 15, 2013

Capaian Media Sosial Perlu Diperluas Untuk Perbetul Persepsi Terhadap BN - Penganalisis


Oleh Mohd Nasir Yusoff

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) yang sekali lagi menerajui kerajaan pasca pilihan raya umum ke-13 (PRU13) perlu memperkuat 'serangan' dan memperluas capaian media sosialnya bagi memperbetulkan persepsi rakyat terhadapnya khasnya di kalangan generasi muda yang telah dikelirukan pembangkang.
Antara media sosial yang popular

Usaha itu mesti dimulakan secara bersepadu dan teratur sekarang dengan mesej-mesej yang jelas dan sekata dengan diselaraskan sebuah agensi khusus supaya tidak berkecamuk.

Pakar perhubungan awam dan penganalisis sains sosial, Prof Datuk Dr Hamdan Adnan berkata berdasarkan trend pada PRU13 peranan media sosial jelas sangat penting dan berkesan dalam mempengaruhi pengundi, khususnya pengundi muda.

"Baik pengundi matang mahupun pengundi pertama kali dan pengundi muda yang mencakupi kira-kira 40 peratus daripada sejumlah 3.2 juta pengundi berdaftar pada PRU13 sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pelbagai maklumat di media sosial.

"Daripada penelitian saya, BN agak terkebelakang dalam memanfaatkan media sosial sedangkan ia sangat penting kerana bukan sedikit golongan yang tidak lagi membaca akhbar arus perdana atau menonton siaran TV dan mendengar radio," katanya dalam satu temu bual dengan Bernama di sini hari ini.

Hamdan berkata perkembangan itu jelas dilihat di kalangan pelajar pusat pengajian tinggi dan universiti yang bakal menjadi pengundi pada PRU14 dan seterusnya mewarisi kepimpinan negara.

"Jika maklumat jelas dan betul mengenai apa yang telah diperjuang dan dilaksanakan dengan jayanya oleh BN sehingga dapat dinikmati sekarang tidak disampaikan kepada mereka, bagaimana kerajaan BN akan mengharapkan mereka memahami dan bersama-sama terlibat dalam usaha pembangunan negara?" soalnya.

Menurut Hamdan, pembangkang tidak boleh disalahkan jika mereka lebih cepat mengesan trend semasa dan bijak mengambil kesempatan daripada teknologi komunikasi terkini, biar apa pun mesej dan maklumat yang mereka sampaikan sesuai dengan penentuan agenda mereka.

"Namanya dah pembangkang...Memang banyak mesej dan maklumat pembangkang yang tidak beretika, berunsur fitnah, tanpa penyelidikan sehingga berlaku pembohongan atau memang penipuan yang disesuaikan dengan matlamat parti mereka untuk merebut kuasa.

Sebagai generasi terpelajar tidakkah golongan muda dapat membezakan antara yang benar dan tohmahan, yang betul dan penipuan sehingga mudah percaya bulat-bulat terhadap dakyah politik sedemikian?" soalnya.

Hamdan berkata kerana itulah dalam teknologi pemasaran dan kepenggunaan, setiap mesej disampaikan berulang-ulang kerana lama kelamaan banyak pihak akan percaya dan menerima apa yang disogokkan kepada mereka sebagai maklumat yang benar.

Beliau memberi contoh, dakyah padamnya elektrik di pusat pengiraan undi untuk kerusi Parlimen Bentong pada PRU13 walaupun telah diberi penjelasan oleh calon yang kalah bahawa ia tidak berlaku dan Tenaga Nasional Berhad juga menafikannya, namun dakyah itu disebar berulang-ulang di media sosial.

"Akhirnya ramai yang percaya dan turut menyebarkannya lagi dan lebih meluas sehingga berita penafian tidak diendahkan lagi oleh banyak orang. Persepsi terhadap kerajaan sangat negatif menjelang PRU13," katanya.

Begitu juga dengan dakyah pembangkang kononnya pekerja Bangladesh diberi kad pengenalan dan disuruh mengundi, yang sehingga sekarang pun tidak ada pihak yang tampil mengemukakan bukti sahih tetapi telah menjadi buah mulut akibat sebaran meluas di media sosial.

"Dakyah politik sebegini perlu ditangani dengan tegas dan segera. BN kena ada pasukan khas media sosial bagi menjelaskannya, menyampaikan maklumat yang betul secepat mungkin," katanya, yang menambah bahawa ada kaedah-kaedah tertentu yang boleh digunapakai oleh jentera BN baik di peringkat pusat mahupun setempat.

Hamdan berkata penggerak media sosial BN perlu terdiri daripada para pakar strategi dan pekerja sepenuh masa kerana empat tahun akan datang bukanlah tempoh yang lama, apatah lagi jika kerajaan dan penjawat awam perlu menumpukan kerja keras menunaikan janji-janji dalam manifestonya.

"Sumber manusia perlu dilatih dari sekarang supaya mampu menyaingi pekerja media sosial bergaji tetap pihak pembangkang. Biarlah soldadu maya BN menumpukan sepenuh perhatian mengesan isu di alam siber dan kemudiannya diberi panduan jelas untuk menyampaikan maklumat tepat kerajaan mengenai isu-isu itu.

"Kalaupun tiada isu dan dakyah disebar pembangkang, rebutlah peluang di alam maya itu untuk meningkatkan sebaran maklumat kerajaan dengan cara dan penyampaian yang menarik dan tidak berbentuk berita semata-mata," katanya.

Tidakkah sudah banyak laman web, twitter dan facebook digunakan oleh penyokong BN selama ini?" soalnya.

Hamdan berkata harus dibezakan antara media sosial yang mempromosi individu politik dengan media sosial yang peranannya menjelaskan dasar-dasar kerajaan, usaha yang sedang dilaksanakan oleh BN dan hala tuju negara yang perlu diusahakan bersama oleh setiap rakyat.

"Media sosial BN tidak harus semata-mata memberitahu apa yang kita nak beritahu tetapi lebih pentingnya memberitahu apa yang sebenarnya rakyat nak tahu. Sangat perlu juga menyetempatkan hal-hal yang dijelaskan kerana isu di Sabah contohnya berbeza daripada isu di Johor," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment